Wednesday 14 September 2011

Jodoh Merupakan Takdir Dan Perlu Mencarinya


“Jodoh di tangan Tuhan dan manusia wajib berikhtiar mencari dan memilihnya sesuai dengan ketentuan yang ditentukan Tuhan”

Pendapat ini lebih sempurna. Memang itulah aturan mencari dan memilih jodoh. Selain daripada pendapat di atas, masih ada cara lain yang digunakan di beberapa tempat seperti :

1. Jodoh dicari dan dipilih oleh orang tua tetapi perkahwinan
berlangsung atas persetujuan anak.

2. Anak lelaki mencari dan memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan berkahwin bergantung kepada orang tua.

3. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri tetapi keputusan perkahwinan bergantung kepada kedua belah pihak orang tua.

4. Anak lelaki atau perempuan mencari atau memilih jodohnya sendiri serta menentukan sendiri perkahwinannya.

Mengikut ajaran Islam, persetujuan antara kedua belah pihak merupakan perkara asas, iaitu atas persetujuan dari calon suami dan isteri. Ini disebabkan perkahwinan di dalam Islam bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan pasangan tersebut.

Kedua orang tua harus turut serta memikirkan atau memerhatikan jodoh bagi anaknya. Jadi masalah memilih jodoh dalam Islam boleh dilakukan oleh anak ataupun kedua orang tua.

Namun begitu, kedua orang tua tidak boleh sesuka hati mencarikan calon untuk anaknya. Ianya mestilah berlandaskan ajaran Islam.

Bagi menentukan jodoh untuk kaum wanita, setidak-tidaknya perlu diperhatikan beberapa ciri berikut:

i. Pemimpin keluarga yang baik dan bertanggungjawab untuk membina rumahtangga.

ii.Mencari nafkah yang jujur dan berhasil

iii. Pasangan ideal dalam erti;

- bersikap baik terhadap isteri
- dapat memberikan kebebasan berfikir dan memberi pendapat
- menerima kekurangan dan kelemahan isteri
- dapat membantu tugas isteri dalam keadaan dan kegiatan tertentu
- dapat menjaga kewibawaan isteri
- dapat membimbing isteri ke jalan yang baik
- dapat menghormati dan menyayangi sanak keluarga isteri


iv. Bapa yang baik dan sayang kepada anak-anak

v. Pasangan yang baik zahir dan batin

Memang diakui jodoh dan pertemuan itu adalah di tangan Tuhan. Bagamanapun kata-kata ini tidak boleh difahami secara umum begini, sebaliknya ia memerlukan huraian yang jelas, kerana ia mempunyai hubungan erat dengan qada’ dan qadar Allah. Seseorang perempuan yang tidak di sangka-sangka dipinang orang kemudian berkahwin dan perkahwinannya kekal sehingga ke anak cucu. Itulah yang dikatakan jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Begitu juga seorang yang sudah lama bercinta dan berjanji untuk untuk berkahwin namun mereka gagal berkahwin, juga dikatakan sebagai jodoh pertemuan itu di tangan tuhan.

Bagaimanapun seseorang itu tidak boleh menyerah bulat-bulat kepada kaedah ini. Jangan hendaknya kerana jodoh pertemuan itu di tangan tuhan maka mereka tidak berusaha untuk mencari jodoh, sebaliknya mengambil sikap menunggu sahaja. Ini jelas satu prinsip hidup yang bercanggah dengan ajaran Islam. Kita dikehendaki berusaha selaras dengan ajaran-ajaran Islam yang Maha Suci, tetapi kita juga hendaklah menyerahkan kejayaan usaha kita itu kepada Allah SW. Setelah berusaha tetapi jodoh tidak ditemui juga barulah boleh kita mengatakan jodoh dan pertemuan itu di tangan Tuhan.

Dengan lain perkataan jodoh dan pertemuan yang berbentuk umum itu boleh diubah dengan usaha yang kita lakukan, kerana tidak tidak seorangpun yang dilahirkan sudah mengetahui jodoh dan pertemuannya. Sehubungan dengan usaha yang berterusan selaras dengan syariat mesti dilakukan. Pilihan orang tua atau ibubapa untuk anak mereka tidak semestinya tepat, tetapi kebiasaannya ibubapa tidak akan memilih pasangan yang tidak baik untuk anak kesayangan mereka. Sebolehnya diusahakan mendapatkan pasangan yang baik kecuali mereka yang hidupnya bergelumang dengan kepentingan duniawi. Di kala itu ia akan mengutamakan kepentingan perut dari kebahagiaan rumahtangga anaknya.

Soal permohonan ibubapa untuk menemukan jodoh anaknya adalah satu kerja yang baik. Biasanya doa kedua ibubapa adalah doa yang mudah diperkenankan oleh Allah. dan jika Allah kehendaki Ia akan memakbulkan permohonan itu. Tidak mustahil, kerana itu anak-anak disuruh menaruh sangka baik kepada doa ibubapa mereka. Bagamanapun ibubapa tidak boleh mengharapkan doa semata-mata, sebaliknya mereka juga perlu bergerak untuk mencari jodoh untuk anaknya. Jika anaknya sudah mempunyai kenalan yang berkenan di hati di mana perwatakan pasangannnya baik menurut kacamata syara’ dan tidak apa yang kurang, di masa itu elok diterima sahaja pasangan yang sudah sekufu ini.Barakallahulakuma wa baraka alaikuma wa jama’a bainakuma filkhair.

No comments:

Post a Comment